Non-performing loans occur due to non performing assets

Article from Razali’s FB page.

Dua minggu lepas saya ada menulis tentang kemelut yang dihadapi Sri Lanka, salah satunya ialah kegagalan membayar balik hutang. Ramai penganalisis mengandaikan punca utama masalah negara tersebut ialah tahap hutang terlalu tinggi.

Tetapi semata-mata dari sudut kewangan (bukan dari kaca mata Islam), terlalu banyak hutang bukan punca mutlak masalah sesuatu entiti. Tak kiralah entiti tersebut sebuah negara, syarikat, perniagaan kecil atau individu.

Masalahnya ialah aset yang diperolehi / dibeli / dibiayai daripada hutang yang diambil gagal menjana pulangan yang cukup tinggi untuk menampung faedah, dan juga membayar balik nilai pokok hutang tersebut.

Apabila kita ambil hutang, ini bukan bermakna tiba-tiba kita ada satu liabiliti besar yang timbul tanpa sebarang pertimbangan. Kita akan terima aset dalam bentuk wang, yang boleh digunakan untuk:

1. Membiayai projek

2. Membeli aset / hartanah

3. Memulakan perniagaan

4. Membiayai modal kerja

5. Lain-lain tujuan

Masalah timbul bukan kerana terlalu banyak hutang, tetapi wang yang diterima oleh hutang tersebut tidak digunakan dengan cukup bermanfaat untuk menjana pulangan yang setimpal.

Antara masalah yang mungkin dialami penghutang ialah:

1. Kos projek lebih tinggi daripada dijangka menyebabkan ROI lebih rendah

2. Aset langsung tak menjana pulangan dan rosot nilai

3. Perniagaan rugi

4. Keadaan luar jangka seperti bencana alam atau pandemik

5. Salah kendali / rasuah

6. Pengurusan wang kurang cekap

Ada negara dan syarikat yang mempunyai hutang tinggi tetapi tidak atau belum menghadapi masalah kerana projek/aset mereka adalah ‘performing’, nilai aset semakin meningkat dan ada cukup sumber untuk membiayai hutang.

Apabila membuat permohonan pinjaman, banyak pihak yang benar-benar yakin tentang unjuran pulangan projek, aset atau perniagaan mereka. Tetapi lazimnya dalam unjuran yang dibuat, senario positif diandaikan.

Dalam dunia sebenar banyak masalah akan timbul yang boleh menyebabkan keadaan yang diramalkan tidak menjadi kenyataan.

Kesannya ialah kegagalan pembayaran, yang hanyalah ‘symptom’ atau gejala bagi masalah sebenarnya, iaitu kegagalan aktiviti / perniagaan/ projek / aset yang dibiayai oleh hutang tersebut.

Nota: Pandangan peribadi saya terhadap hutang ialah “less is better, zero is best”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *