Prestasi Ekonomi S423 Malaysia Agak Lemah Tetapi Jangan Terlalu Pesimistik

Minggu lepas BNM Malaysia telah mengumumkan prestasi ekonomi bagi Suku Ke-4 2023. Ada positif dan ada negatif. Sebab itulah jika dilihat di media sosial, data ini boleh di’spin’ mengikut kecenderungan politik masing-masing.

Dari segi tahunan, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 3.0 peratus pada Suku ke-4 2024, dan meningkat sebanyak 3.7% untuk seluruh tahun 2023, lebih rendah daripada jangkaan 4 – 5% oleh BNM dan juga penganalisis.

Bagaimanapun dari segi perbandingan suku tahunan, ekonomi Malaysia menguncup 2.1% (-2.1%) pada Suku Ke-4 2023 berbanding Suku Ke-3 2023.

Kita melihat kemerosotan jelas dalam aktiviti ekonomi pada suku terakhir tahun lepas, kemungkinan besar kerana peperangan di Timur Tengah dan kelemahan di China.

Dari sudut positif:

Kadar pengangguran turun ke paras rendah seperti sebelum pandemik pada 3.3% manakala kadar guna tenaga juga berada pada tahap tertinggi.

Inflasi pula jatuh kepada paras 1.6%, manakala inflasi bahan makanan hanya 0.5%.

Dari sudut negatif:

Perbelanjaan pengguna merosot 3% pada suku keempat, menunjukkan kelemahan kuasa beli pengguna.

Menurut ahli ekonomi Professor Paolo Casadio dan Professor Geoffrey Williams, kadar guna tenaga tinggi adalah kerana ramai wanita dan belia terpaksa memasuki tenaga kerja.

Mereka tiada pilihan kerana terpaksa menampung kos kenaikan harga barang. Mereka bekerja dalam pekerjaan bergaji rendah.

Malah pendapatan boleh guna kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana pada umumnya terjejas.

Ramai yang menganggap Ringgit yang rendah berbanding USD juga sebagai kelemahan, tetapi ia bergantung kepada keadaan, kerana ada sektor yang untung dan ada sektor yang rugi.

Kesimpulannya ialah keadaan ekonomi pada hujung tahun lepas kurang baik tetapi tidaklah teruk memandangkan situasi luar yang dihadapi.

Jika anda membaca siaran akhbar Bank Negara, gambaran positif diberikan tetapi berasaskan analisis pakar ekonomi dan sumber berita perniagaan seperti Bloomberg, keadaan sebenarnya tidak begitu positif.

Berikut ialah ayat pembuka kata daripada dua Profesor yang saya sebutkan tadi dalam surat yang dihantar kepada media:

‘Economic growth in 2023 was worse than expected and lower than the advance estimates. This paints quite a different picture from the rosy narrative of the main analyses and forecasts.’

Memang situasi sekarang agak negatif, tetapi sebagai pelabur, kita perlu sedar tiada kejatuhan kekal atau kenaikan kekal, segalanya berlaku dalam kitaran.

Data BNM ialah apa yang telah berlaku. Apa yang lebih penting ialah apa yang akan berlaku.

Pendapat saya ialah kita mungkin tertinggal bas jika biarkan situasi negatif semasa dan kecenderungan politik mempengaruhi keputusan pelaburan pada 2024.

Nota:

Ramai yang mempersoalkan kenapa mereka masih merasai kesan harga tinggi jika kadar inflasi turun. Inflasi mengukur kenaikan harga. Inflasi lebih rendah bermakna pengurangan kenaikan harga, bukannya penurunan harga.

Saham Syarikat Takaful Bangkit Kembali

Setelah dua tiga tahun tiga tahun tidak ke mana, saham Syarikat Takaful nampaknya mula bangkit kembali selepas syarikat mengumumkan dividen 14 sen baru-baru ini.

Walaupun mencatatkan prestasi yang kukuh sejak 5 tahun lepas, dengan paras keuntungan antara 30 – 50 sen, harga sahamnya sudah lama terpendam di bawah paras RM4.00.

Dividen 14 sen yang diumumkan hanya sedikit lebih tinggi daripada 13.5 sen tahun lepas, tetapi tak pasti kenapa tiba-tiba saham mendapat perhatian kembali.

Mungkin disebabkan prestasi keuntungan tahun ini juga dijangka lebih baik. Malah pada tahun ini syarikat tidak perlu membayar Cukai Makmur seperti tahun lepas.

Pendapatan sesaham (EPS) untuk tiga suku pertama 2023 ialah 33 sen sesaham, dan sudah hampir pasti mengatasi prestasi tahun penuh 2022 sebanyak 38 sen sesaham apabila keputusan suku keempat diumumkan pada bulan Februari.

Bursa Malaysia

Mungkin sentimen naik seiring dengan keseluruhan pasaran, atau mungkin pelabur besar dah mula ‘nampak’ semula potensi syarikat.

Lebih-lebih lagi kerana Syarikat Takaful merupakan hanya segelintir syarikat dalam industri kewangan yang patuh syariah.

Burs a Malaysia

Seperti yang boleh dilihat daripada carta, harga saham ini satu masa dulu pernah gah sebelum kemelut Covid dan pelbagai isu lain menghantui pasaran saham Malaysia.

Walaupun sudah naik sedikit daripada paras yang amat rendah, pada pandangan saya harga masih berpatutan berasaskan dividen dan tahap keuntungannya.

Fed will continue to raise rates to fight inflation

“Reducing inflation is likely to require a sustained period of below-trend growth. While higher interest rates, slower growth, and softer labor market conditions will bring down inflation, they will also bring some pain to households and businesses.”

“These are the unfortunate costs of reducing inflation. But a failure to restore price stability would mean far greater pain. Without price stability, the economy does not work for anyone.”

Jerome Powell, Fed Chairman

Pada hujung minggu lepas, Jerome Powell, Pengerusi Federal Reserve (Bank Pusat) Amerika menekankan bahawa peperangan menentang inflasi akan diteruskan, walaupun ia menimbulkan kesan terhadap ekonomi, pasaran buruh dan pasaran saham. Berikut adalah terjemahan kata-kata beliau:

“Usaha memerangi inflasi memerlukan tempoh berterusan di mana pertumbuhan lebih rendah daripada biasa. Walaupun kadar faedah tinggi, pertumbuhan lebih perlahan dan pasaran buruh yang tidak begitu hangat akan menyekat inflasi, ia juga akan menimbulkan cabaran kepada is rumah dan perniagaan.”

“Inilah kesan mengurangkan inflasi yang tidak dapat dielakkan. Tetapi kegagalan memulihkan kestabilan harga akan menimbulkan masalah jauh lebih besar. Tanpa kestabilan harga, ekonomi tidak akan berfungsi untuk semua.”

Kesimpulannya, Pengerusi Fed menerangkan bahawa walaupun menaikan kadar faedah akan menjejaskan ekonomi, kesan inflasi tidak terkawal adalah lebih bahaya kerana boleh meruntuhkannya.

The rise and fall of glove stocks

(Article from Razali’s FB Page)

Kejatuhan harga saham syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan getah sungguh luar biasa. Kebanyakan saham kini lebih rendah, malah ada yang sehingga lebih 50% lebih rendah berbanding sebelum pandemik.

Jika dibandingkan dengan situasi satu setengah tahun lepas, tak ramai yang meramalkan keadaan ini.

Malah ada syarikat sarung tangan yang membeli balik saham sendiri pada harga yang sangat tinggi. Ini bermakna pada waktu itu, mereka meramalkan harga saham akan naik lagi.

Apabila sesuatu industri menerima supernormal profit atau untung luar biasa seperti ini, keadaan untung luar biasa tersebut jarang kekal.

Lazimnya pesaing baru akan masuk ke pasaran untuk merebut sebahagian daripada untung, dan peserta lama pula akan berlumba-lumba meningkatkan kapasiti.

Kesannya ialah kapasiti berlebihan apabila permintaan telah mula mendatar selepas pandemik, menyebabkan harga purata seunit sarung tangan menjunam. 

Lihat carta harga purata seunit salah satu syarikat daripada Amimvestment:

Akibatnya, keuntungan syarikat terjejas teruk, dan harga saham yang menjunam seperti yang kita lihat sekarang

Tetapi dalam suasana pesimistik ini, sentimen sudah berubah sama sekali dan kebanyakan pelabur putus harapan dan menganggap tiada masa depan bagi sektor ini.

Memandangkan potensi yang malap, beberapa pesaing, terutamanya peserta yang baharu masuk tetapi gagal menjana untung akan keluar dari industri.

Syarikat-syarikat kukuh sedia ada akan membatalkan rancangan menambah kapasiti dan menutup barisan pengeluarna lama yang usang dan tidak begitu cekap.

Kapasiti akan mendatar atau berkurangan, dan ini biasanya akan membawa kepada peningkatan harga produk secara beransur-ansur, dan seterusnya prestasi syarikat.

Walaupun proses ini akan mengambil masa, mungkin dua hingga lima tahun, tetapi begitulah apa yang lazimnya berlaku dalam kitaran turun naik sesuatu sektor.

The unfortunate situation in Sri Lanka

(Article from Razali’s FB page)

Minggu lepas (mantan) Perdana Menteri Sri Lanka mengumumkan secara rasmi negara tersebut sudah bankrup. Bekalan bahan api sudah tiada, makanan dan ubat-ubatan juga tidak cukup. 

Kalau syarikat muflis, boleh mulakan proses pembubaran dan kemudian gulung tikar. Tetapi ini sebuah negara berdaulat. 

Bankrup atau tidak, kehidupan perlu diteruskan, rakyat masih ada dan perlu makan, bergerak, bekerja dan mendapatkan khidmat perubatan.

Kesannya ialah rusuhan yang aman selama berbulan bertukar menjadi sedikit ganas di mana rumah Presiden dan Perdana Menteri diserbu, dan kedua-duanya dibawa keluar dan ‘bersetuju’ meletakkan jawatan.

Kelemahan di negara tersebut tentunya tidak berlaku secara tiba-tiba tetapi secara beransur-ansur dalam jangka masa yang agak panjang. (Lihat artikel terdahulu mengenai Sri Lanka)

Namun keadaan menjadi semakin runcing dan tak boleh diselamatkan selepas sekatan pergerakan pandemik dan juga inflasi semasa, terutamanya kenaikan harga minyak.

Melihatkan keadaan di sana, mungkinkah tindakan fiskal berdisiplin yang sukar diterima oleh rakyat di peringkat awal lebih baik daripada krisis besar yang menyebabkan bankrupsi dalam jangka panjang?

Ada sesetengah ahli politik kita bertanya adakah negara kita berpotensi menjadi seperti Sri Lanka. Saya hampir pasti ia tidak akan berlaku. Keadaan dan sumber kita teramat jauh berbeza, walaupun kita juga ada kelemahan.

Tetapi kita tetap perlu mengambil iktibar. Sampai bilakah kita mahu melengahkan langkah-langkah tidak popular yang boleh mengukuhkan kewangan negara?

Seperti usaha mengurangkan atau menghapuskan defisit, melaksanakan GST, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, mengurangkan ketirisan kakitangan berbakat, memberi subsidi hanya kepada yang perlu dan beberapa langkah lain.

Nampak seperti tidak pernah ada masa yang sesuai untuk melaksanakannya.

Mengingatkan saya tentang peribahasa Melayu berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian…

A delicate balancing act for central banks throughout the world

Almost impossible to control inflation without triggering an economic slowdown

(Article from Razali’s FB page)

Kenapa Bank-Bank Pusat dunia menaikkan kadar faedah bila berlaku inflasi? Bukankah ini memburukkan lagi keadaan?

Jika diteliti, inflasi global sebahagian besarnya disebabkan oleh masalah penawaran atau bekalan. 

Contohnya peperangan Russia- Ukraine, kekangan rantaian bekalan, kekurangan bekalan pekerja dan penawaran yang tidak cukup untuk penuhi permintaan pasca pademik.

Tetapi Bank-Bank Pusat tidak mempunyai kawalan terhadap penawaran. Apa yang boleh dilakukan ialah mengurangkan permintaan dan juga bekalan wang.

Ini dapat dilakukan dengan mengetatkan dasar, iaitu mengurangkan bekalan wang dan menaikkan kadar faedah.

Kesannya ialah aktiviti dan pertumbuhan eknomi mungkin terjejas untuk melawan inflasi. 

Apabila kadar faedah naik, belanja boleh guna untuk individu  dan juga syarikat juga akan terjejas, yang akan mengurangkan permintaan keseluruhan bagi barangan dan perkhidmatan.

Satu lagi kesan ialah terhadap harga aset pelaburan. Dasar wang longgar selama ini positif untuk aset pelaburan, terutamanya di Amerika (tetapi aset seperti saham sudah lama tak ke mana), sehingga harganya tidak setimpal dengan nilai sebenar.

Jadi tidak hairan jika langkah mengetatkan dasar wang telah menjejaskan pasaran pelaburan, termasuklah saham, bon dan kripto.

Jadi kenapa Malaysia pun mungkin perlu menaikkan kadar?  Pertama untuk mempertahankan Ringgit dan kedua mengehadkan aliran keluar rizab.

Keadaan semasa ialah kemelut global yang sukar ditangani. Semua Kerajaan dipersoalkan rakyat masing-masing kerana inflasi tetapi penyelesaian untuk menentang inflasi berpotensi menimbulkan masalah lain pula.

Malaysians should be prepared for a gradual rate hike

(Article from Razali’s FB Page)

Baru-baru ini Rizab Persekutuan (Fed) AS telah meningkatkan kadar faedah secara drastik sebanyak 0.75% untuk menentang inflasi.

Di Malaysia, bagi mereka yang mempunyai hutang berasaskan kadar boleh ubah, anda perlu bersiap sedia untuk kenaikan kadar antara 0.25% hingga 0.5% pada tahun ini.

Kadar sekarang ialah 2%, selepas BNM meningkatkan kadar 0.25% pada bulan Mei.

Ini bermakna OPR dijangka naik kepada antara 2.25% hingga 2.5% tahun ini. Malah ramai juga penganalisis meramalkan ia akan dinaikkan lagi sebanyak 0.5% kepada 3% tahun depan.

Kenaikan di Malaysia dijangka tidak drastik, tetapi dalam jangka pertengahan, orang ramai perlu bersiap sedia untuk membayar ansuran lebih tinggi.

Jika kadar dinaikkan 0.5% tahun ini, dan baki hutang anda RM500,000, ansuran anda berpotensi meningkat sehingga maksimum RM2,500 setahun. Atau lebih kurang RM200+ sebulan.

JIka OPR kembali kepada kadar 3% tahun depan, iaitu kenaikan 1% daripada tahap semasa, baki hutang yang sama menyaksikan ansuran anda meningkat sehingga maksimum RM5,000 setahun. Atau lebih kurang RM400+ setahun.

Kadar faedah purata Malaysia sejak tahun 2000 ialah kira-kira 3% (Lihat graf)

BNM kemungkinan besar perlu menaikikkan kadar untuk memastikan Ringgit tidak jatuh lagi akibat kekuatan dolar AS (disebabkan kenaikan kadar di AS) dan juga untuk menentang inflasi

Maka para peminjam di Malaysia patut merancang kewangan mereka untuk menghadapi senario peningkatan kadar faedah selanjutnya.

Returning to real value

(Article from Razali’s FB Page)

Mungkin pergolakan pasaran baru-baru ini mendorong segelintir pelabur untuk kembali kepada konsep nilai.

Nilai sesuatu aset akhirnya tidak boleh lari daripada satu daripada dua faktor berikut::

  1. Keupayaan menjana untung
  2. Nilai guna/utiliti

Nilai sesuatu saham, dalam jangka panjang, bergantung kepada keupayaan syarikat tersebut meraih untung bagi pemegang saham.

Dalam jangka pendek, mungkin ‘jangkaan’ keuntungan lumayan sudah cukup untuk melonjakkan harga.

Tetapi jika gagal menjana untung, atau tidak dapat menghasilkan untung seperti dijangka, harga akan jatuh (akhirnya).

Dan jika terus rugi secara berpanjangan, nilai saham tersebut akan turun kepada sifar.

Bagi aset seperti komoditi pula, nilainya terletak kepada kegunaannya, yang dicerminkan menerusi permintaan dan penawaran komoditi tersebut.

Manakala bagi mata wang rasmi negara pula, ia mempunyai nilai sebab ada utiliti, iaitu digunakan sebagai perantara untuk menjual beli. 

Nilainya semasa bergantung kepada permintaan dan penawaran, tetapi dua faktor ini boleh dipengaruhi dan disokong oleh Bank Pusat sesebuah negara.

Jadi bagi sesuatu aset lain yang tidak menjana untung dan tiada sokongan Bank Pusat, harga aset tersebut akhirnya dalam jangka amat panjang bergantung kepada nilai gunanya.

Walaupun permintaan dalam jangka pendek dan pertengahan boleh dipengaruhi oleh spekulasi atau ramalan kenaikan, dalam jangka panjang aset tersebut akhirnya perlu ada kegunaan/utiliti sebenar untuk mengekalkan nilainya.

Kalau tidak ia hanyalah sama seperti bunga tulip yang melonjak harganya beratus kali ganda sebelum jatuh kembali kepada nilai sebenar beberapa ratus tahun dulu di Belanda. 

Raising rates to fight inflation would have consequences for risk assets

(Article from Razali’s FB Page)

Baru-baru ini, Pengerusi RIzab Persekutuan Amerika berkata beliau akan mengambil segala langkah yang diperlukan untuk menentang inflasi.

Mengapa inflasi menimbulkan risiko bagi ekonomi dan pelaburan?  Kita tahu inflasi akan mengurangkan kuasa beli dan meningkatkan kos bagi individu, tetapi ia juga menimbulkan risiko besar bagi pasaran saham kerana:

1. Kos input semakin meningkat bagi syarikat-syarikat, tetapi kebanyakannya tidak dapat menaikkan harga produk pada kadar yang sama, lantas menjejaskan margin untung

2.  Peningkatan kos buruh, yang menyebabkan kenaikan harga produk akhir atau pengurangan margin

3. Kuasa beli dan sentimen pengguna yang terjejas

4. Situasi makroekonomi di mana bank-bank pusat perlu menaikkan kadar faedah, seterusnya meningkatkan kos pinjaman bagi perniagaan dan juga pengguna

5. Bank pusat perlu mengurangkan bekalan wang, atau sekurang-kurangnya tidak boleh melaksanakan dasar wang longgar. 

Kita sudah boleh mula melihat kesan inflasi daripada keputusan suku tahunan terkini di Bursa Malaysia. Contohnya syarikat kukuh seperti Ajinomoto yang mencatatkan kerugian pada suku tahun lepas.

Sepanjang tempoh 30 tahun lalu, apabila ada saja tanda-tanda kemelut ekonomi, Bank-Bank Pusat, terutamanya Fed di Amerika telah menurunkan kadar faedah atau menambah bekalan wang menerusi proses pengembangan kuantitatif.

Tindakan tersebut boleh dilakukan kerana inflasi yang rendah di kebanyakan negara. Tetapi kali ini ia tidak boleh diteruskan lagi kerana inflasi, dan untuk menentang inflasi bekalan wang perlu dikekang dan kadar faedah dinaikkan.

Kesannya sudah tentu akan menjejaskan harga aset-aset yang telah meningkat dengan ketara disebabkan kadar yang rendah dan dasar wang longgar sebelum ini.

Apakah yang patut diperhatikan untuk meramalkan ‘turning point’ kitaran ekonomi yang seterusnya?

1. Apabila inflasi sudah dapat dikawal

2. Tanda-tanda penyelesaian konflik di Ukraine

3. Rantaian bekalan mula stabil dan kekurangan produk mula reda

4. Fed menyatakan mereka tidak lagi menaikkan kadar 

Tetapi dalam jangka pendek, kita perlu bersedia untuk kesan kenaikan kadar faedah terhadap pasaran, terutamanya pasaran saham Amerika Syarikat.

No more easy money in the US means no more easy gains in the US market

Article from Razali’s FB page.

Setelah sekian lama melaksanakan dasar wang longgar dan mengekalkan kadar faedah pada paras hampir sifar, Rizab Persekutuan AS (FED) baru-baru ini telah menaikkan kadar faedah sebanyak 50 peratus. (lihat graf kadar faedah AS).

Sebab utama langkah ini dilaksanakan ialah kerana inflasi yang agak tinggi di AS (lihat graf inflasi AS), yang dialami kerana pelbagai faktor seperti sekatan rantaian bekalan, deglobalisasi, perang Rusia-Ukraine, kenaikan harga tenaga, komoditi dan bahan mentah dan kekurangan tenaga manusia.

Dasar mengembang dengan kadaar faedah ultra rendah dirangka untuk menyelamatkan ekonomi dalam krisis subprima 2008 dan juga semasa pandemik melanda.

Kesannya ialah kenaikan ketara indeks-indeks pasaran saham walaupun dalam kemelesetan ekonomi suasana pandemik. Sebelum ini, dasar longgar dan cetakan wang dibimbangi akan mencetus inflasi langsung tidak menimbulkan kenaikan harga sehinggalah tahun ini.

Memandangkan inflasi yang terlalu tinggi, Fed tiada pilihan untuk mengetatkan kembali dasar dan kesannya ialah kejatuhan pasaran saham yang sebelum ini dirangsang oleh tahap bekalan wang yang tinggi di pasaran.

Satu lagi kesan daripada kenaikan kadar ialah peningkatan nilai Dollar berbanding mata wang lain, termasuklah Ringgit Malaysia.

Sementara itu BNM juga beberapa hari lepas telah menaikkan kadar 0.25% juga untuk mengekang inflasi dan memberi kestabilan kepada mata wang kita.

Saya meramalkan proses kenaikan kadar oleh Fed akan berlarutan sehingga sekurang-kurangnya tahun ini dan mungkin dilanjutkan ke tahun depan, bergantung kepada ketegaran inflasi AS.

Bagi pasaran AS, parti telah berakhir, sekurang-kurangnya dalam jangka masa sederhana. Bagi kita, memang sudah lama tiada pesta kerana pasaran saham kita sudah tersangkut di dalam julat tertentu sejak dari 2013 lagi.

Namun begitu, saya lebih positif bagi Malaysia, kerana penilaian saham yang menarik dan tidak mahal, negara merupakan pengeluar komoditi, dan juga pertumbuhan ekonomi dan kadar guna tenaga yang dijangka terus kukuh pada tahun ini.