The unfortunate situation in Sri Lanka

(Article from Razali’s FB page)

Minggu lepas (mantan) Perdana Menteri Sri Lanka mengumumkan secara rasmi negara tersebut sudah bankrup. Bekalan bahan api sudah tiada, makanan dan ubat-ubatan juga tidak cukup. 

Kalau syarikat muflis, boleh mulakan proses pembubaran dan kemudian gulung tikar. Tetapi ini sebuah negara berdaulat. 

Bankrup atau tidak, kehidupan perlu diteruskan, rakyat masih ada dan perlu makan, bergerak, bekerja dan mendapatkan khidmat perubatan.

Kesannya ialah rusuhan yang aman selama berbulan bertukar menjadi sedikit ganas di mana rumah Presiden dan Perdana Menteri diserbu, dan kedua-duanya dibawa keluar dan ‘bersetuju’ meletakkan jawatan.

Kelemahan di negara tersebut tentunya tidak berlaku secara tiba-tiba tetapi secara beransur-ansur dalam jangka masa yang agak panjang. (Lihat artikel terdahulu mengenai Sri Lanka)

Namun keadaan menjadi semakin runcing dan tak boleh diselamatkan selepas sekatan pergerakan pandemik dan juga inflasi semasa, terutamanya kenaikan harga minyak.

Melihatkan keadaan di sana, mungkinkah tindakan fiskal berdisiplin yang sukar diterima oleh rakyat di peringkat awal lebih baik daripada krisis besar yang menyebabkan bankrupsi dalam jangka panjang?

Ada sesetengah ahli politik kita bertanya adakah negara kita berpotensi menjadi seperti Sri Lanka. Saya hampir pasti ia tidak akan berlaku. Keadaan dan sumber kita teramat jauh berbeza, walaupun kita juga ada kelemahan.

Tetapi kita tetap perlu mengambil iktibar. Sampai bilakah kita mahu melengahkan langkah-langkah tidak popular yang boleh mengukuhkan kewangan negara?

Seperti usaha mengurangkan atau menghapuskan defisit, melaksanakan GST, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, mengurangkan ketirisan kakitangan berbakat, memberi subsidi hanya kepada yang perlu dan beberapa langkah lain.

Nampak seperti tidak pernah ada masa yang sesuai untuk melaksanakannya.

Mengingatkan saya tentang peribahasa Melayu berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *