Sri Lanka’s severe economic, debt, food and medicine crisis

(Article from Razali’s FB page)

Sri Lanka baru-baru ini telah mengisytiharkan negara tersebut muflis dan akan menghentikan semua pembayaran faedah dan juga wang pokok bagi hutang yang ditanggungnya.

Keadaan ini ekoran krisis ekonomi paling teruk dalam sejarah Sri Lanka, yang menyebabkan beberapa masalah yang teramat besar dan menimbulkan kesan berikut:

1. Rizab asing yang tinggal hanya USD2.2 bilion sahaja (Perbandingan: Malaysia lebih kurang USD115 bilion)

2. Tidak mampu membayar hutang yang tinggi, terutamanya dalam mata wang asing

3. Tiada wang untuk mengimport bekalan makanan, bahan asas dan ubat-ubatan.

4. Kekurangan bahan api, yang terpaksa dicatu bekalannya

5. Bekalan kuasa hanya 12 jam sehari di tempat tertentu

6. Kemerosotan nilai mata wang

7. Penutupan pasaran saham selama lima hari

Krisis ekonomi yang teruk sebegini jarang berlaku disebabkan hanya satu faktor. Berikut adalah antara punca yang dilaporkan di media (ada di luar kawalan dan banyak boleh dikawal):

1. Tahap hutang luar yang tinggi

2. Pengurusan ekonomi kurang baik yang berlaku sekian lama

3. Krisis Covid-19 menyebabkan hasil pelancongan berkurangan (tetapi masalah sudah mula berlaku sebelum Covid, cuma ia menjadikan krisis lebih teruk)

4. Tahap inflasi semasa yang semakin tinggi

5. Langkah mengurangkan cukai (niat baik tetapi kesan negatif)

6. Membuat keputusan mengharamkan import baja dan menggunakan 100% kaedah organik, menyebabkan penurunan ketara penghasilan makanan (juga niat asal baik).

Ada sesetengah penganalisis mendakwa krisis ekonomi berlaku disebabkan perangkap hutang dari China, tetapi laporan lain mengatakan ia tidak tepat kerana China mewakili hanya 10% hutang.

Malah hutang dari Jepun lebih tinggi pada 11%. Negara juga mengambil banyak pinjaman daripada IMF, dengan syarat-syarat fiskal yang ketat dan kemungkinan akan mendapatkan lagi dana IMF untuk cuba mengatasi krisis ini.

Sri Lanka juga meminta bantuan India dan China untuk menghapuskan hutang, sebaliknya kedua-dua negara memberikan bantuan lain, iaitu kemudahan kredit tambahan untuk membeli keperluan asas.Ini bermakna krisis hutang cuba diselesaikan dengan menambah hutang.

Mungkin sukar untuk meminta negara-negara yang bakal rugi kerana memberi hutang kepada Sri Lanka membatalkan hutang begitu sahaja.

Pendek kata walaupun negara-negara atau institusi pemberi hutang mahu membantu dan tidak bertindak seperti Ahlong atau institusi kredit biasa, dan kadarnya pun tidak begitu tinggi, kemelut hutang tetap boleh berlaku.

Semoga krisis di Sri Lanka menjadi peringatan buat negara kita, syarikat-syarikat korporat dan juga individu tentang pro dan kontra berhutang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *